- Woon King Chai (Tahun 2, Sains Politik)

Perbincangan tentang keabsahan, kuasa dan autoriti harus didahului dengan pendefinisian asas daripada Kamus Dewan Edisi Ketiga, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, untuk memberikan satu idea dan garis panduan kepada perbincangan untuk ketiga-tiga keabsahan, kuasa dan autoriti. Selain daripada itu, pendefinisian asas yang telah dinyatakan dalam Kamus Dewan Edisi Ketiga merupakan pendefinisian yang sering diterima secara asasnya sebelum perkara-perkara tersebut dilihat secara lebih mendalam melalui pendefinisian yang dinyatakan oleh tokoh-tokoh yang penting dalam bidang sains politik.

Mengikut Kamus Dewan Edisi Ketiga, ‘keabsahan’ boleh didefinisikan sebagai satu keadaan yang sah atau kedudukan yang sah. ‘Kuasa’ telah didefinisikan sebagai satu daya, kemampuan, kudrat, keupayaan, tenaga, kesanggupan, minat, hak, wibawa, pengaruh, mandat, perintah, curahan, amanah, keagungan, kawalan, ketahanan, ketabahan, karisma, dan kekuatan. ‘Autoriti’ pula didefinisikan sebagai sebuah kuasa yang sah dan mempunyai kuasa atau hak untuk memberi perintah, mengawal dan arahan ke atas pengikutnya.

Antara tujuan kajian ini bukan sahaja untuk melihat secara kasar maksud serta pengertian keabsahan, kuasa dan autoriti berdasarkan pelbagai definisi kerana konsep-konsep ini merupakan asas kepada pengajian bidang sains politik. Oleh itu, kefahaman tentang konsep-konsep asas ini dapat membawa kepada pemahaman yang lebih mendalam dalam ilmu pengajian bidang sains politik. Selain itu, pendefinisian serta huraian keabsahan, kuasa dan autoriti boleh dikaitkan dengan pelbagai teori politik; biarpun klasik atau kontemporari, serta kejadian dalam suasana politik tempatan atau antarabangsa.

Dalam bahagian yang akan datang, pendefinisian secara mendalam melalui kajian tentang pendefinisian yang dinyatakan oleh tokoh-tokoh bidang sains politik akan disokong oleh contoh-contoh semasa yang boleh diaplikasikan konsep-konsep asas mengenai keabsahan, kuasa dan autoriti; biarpun di dalam Malaysia ataupun di luar negara. Selain daripada itu, suatu hubungan yang mengaitkan ketiga-tiga konsep asas ini boleh dijalin melalui kajian tentang beberapa senario yang sedang berlaku di dunia ini ataupun di dalam negara Malaysia.

PENDEFINISIAN SECARA MENDALAM: KEABSAHAN

Ramai tokoh telah memberi pandangan mereka mengenai keabsahan serta menghubungkaitkan keabsahan dengan politik dunia. Walau bagaimanapun, perbincangan tentang keabsahan tidak sempurna tanpa perbincangan pandangan Robert A. Dahl dalam perkara ini. Menurut
Dahl (1961),  keabsahan merupakan satu syarat yang paling asas kepada pemerintahan dan pembentukkan sebuah kerajaan. Tanpa sedikit pun keabsahan, sesuatu kerajaan itu akan sering mengalami konflik dan akhirnya runtuh.

Keabsahan atau legitimacy, dalam Bahasa Inggeris, merupakan satu bentuk pengakuan atau penerimaan oleh orang yang diperintah kepada sesebuah kerajaan atau pemerintahan. Menurut John Locke, dalam penulisan beliau ‘Two Treaties of Government’ (1689), “… sesuatu pemerintah memerlukan persetujuan daripada yang diperintah”. Apabila sesebuah kerajaan gagal untuk mempunyai sedikit pun keabsahan, konflik akan berlaku antara pihak pemerintahan dengan golongan yang diperintah. Tidak dapat dinafikan bahawa kedua-dua golongan, pihak pemerintahan serta golongan yang diperintah, saling bergantung dan ketidakwujudan keabsahan akan membawa kepada huru-hara dan perebutan kuasa daripada pihak pemerintah oleh golongan yang diperintah kerana pemerintahan atau kerajaan yang memerintah itu tidak diterima oleh golongan yang diperintah sebagai satu kerajaan yang sah. Keabsahan kerajaan tersebut yang akan membawa kepada persetujuan dan penerimaan pihak pemerintah oleh golongan yang diperintah. Oleh yang demikian, boleh juga dikatakan bahawa keabsahan itu memerlukan persetujuan dan ia juga merupakan salah satu syarat kepada pemberian kuasa kepada autoriti oleh golongan yang diperintah. Tanpa keabsahan, jelas sekali autoriti itu tidak boleh diterima.

Satu contoh yang baik untuk mengukuhkan huraian di atas ialah kejadian pemberontakan serta huru-hara di negara Zimbabwe selepas Presiden Mugabe memenangi pilihanraya umum  di Zimbabwe kerana ketua pembangkang, Morgan Tsvangirai, telah menarik diri dari pilihanraya untuk mengelakkan daripada berlakunya tumpah darah. Punca kepada Morgan Tsvangirai menarik diri daripada pilihanraya umum di Zimbabwe ialah Presiden Mugabe telah mengongkong serta mengehadkan perjalanan kempen pihak pembangkang melalui intimidasi  penyokong parti pembangkang, Movement for Democratic Change (MDC), semasa perjalanan kempen pilihanraya di Zimbabwe. Hal yang demikian menyebabkan pelbagai keganasan serta pemberontakan daripada rakyat Zimbabwe kerana mereka berpendapat bahawa kerajaan yang ditubuhkan oleh Presiden Mugabe tidak absah kerana pilihanraya yang telus dan adil tidak dijalankan kesan daripada intimidasi penyokong pihak pembangkang dan penarik dirian Morgan Tsvangirai daripada pilihanraya. Oleh itu, daripada contoh ini dapat diperlihatkan bahawa sesebuah kerajaan yang tidak ada keabsahan serta persetujuan daripada rakyat akan membawa kepada konflik serta keruntuhan kerajaan.

Selain daripada itu, Dahl (1961) juga mengkonseptualkan keabsahan itu dengan satu metafora, di mana keabsahan bagaikan suatu tangki air yang paras airnya sebagai keabsahan sesuatu kerajaan itu boleh naik dan turun. Contohnya, selagi tahap air dapat dikekalkan pada suatu tahap yang tertentu, kestabilan dapat dikekalkan. Walau bagaimanapun, jika tahap itu jatuh melepasi tahap yang minima itu, kestabilan akan tergugat. Pada masa yang sama, tahap itu juga boleh meningkat untuk membawa kestabilan sekiranya tahap itu telah melepasi tahap yang minima. Keadaan ini boleh diaplikasikan kepada bidang sains politik dengan mengandaikan tahap minima itu sebagai tahap keabsahan yang perlu dicapai supaya kerajaan yang mentadbir itu diterima rakyat dan mencapai tahap yang stabil dan tahap air yang turun dan naik itu sebagai keabsahan sesebuah kerajaan yang boleh mengubah mengikut tindak-tanduk serta perlaksanaan pihak kerajaan mengenai tanggungjawab yang telah diberi kepada pihak kerajaan.

Satu contoh yang baik ialah perampasan kuasa oleh tentera di Korea Selatan pada 16 Mei 1961, yang diketuai oleh Mejar Jeneral Park Chung-hee. Walaupun pada mulanya kerajaan yang ditubuhkan oleh beliau dianggap tiada keabsahan kerana rampasan kuasa oleh tentera Mejar Jeneral Park Chung-hee, tetapi pembangunan negara Korea Selatan di bawah pimpinan beliau telah berkembang dengan begitu pesatnya sehinggi berjaya meningkatkan status negara Korea Selatan daripada salah sebuah negara yang paling miskin in Asia ke sebuah negara yang membangun dengan begitu pesatnya sehingga meninggalkan negara jirannya, iaitu Korea Utara. Tidak lama selepas Mejar Jeneral Park Chung-hee menubuhkan kerajaan beliau, sebuah pungutan suara telah diadakan untuk meninjau sama ada rakyat Korea Selatan ingin mengadakan pilihanraya untuk memilih pemimpin sendiri atau tidak. Majoriti 78% rakyat Korea Selatan bersetuju untuk mengadakan pilihanraya untuk memilih pemimpin yang baru melalui pilihanraya dan Mejar Jeneral Park Chung-hee tetap menunaikan janji beliau. Beliau telah menyertai pilihanraya umum Korea Selatan pada 1963 dan telah berjaya memenangi jawatan Presiden Korea Selatan dalam pilihanraya umum tersebut. (Watkins 2000) Hal ini menunjukkan bahawa rakyat Korea Selatan yang pada mulanya tidak menerima pentadbiran tentera Mejar Jeneral Park Chung-hee tetapi pada akhirnya mereka telah menerima kerajaan tersebut apabila mereka dapat melihat perkembangan negara dan kerajaan telah menjaga kepentingan dan kebajikan rakyat jelata.

Tidak dapat dinafikan bahawa kerajaan yang ditubuhkan akibat daripada perampasan kuasa oleh tentera adalah tidak absah dan pada mulanya tidak diterima oleh rakyat jelata kerana kuasa itu dirampas melalui paksaan dan intimidasi. Daripada contoh yang telah dinyatakan di atas, jelas dilihatkan bahawa melalui masa, sesebuah kerajaan yang pada mulanya tidak diterima dan tidak absah akan diterima rakyat jelata apabila kerajaan tersebut berjaya untuk memerintah dengan baik dan berusaha untuk menjaga kebajikan serta kepentingan rakyatnya.

PENDEFINISIAN SECARA MENDALAM: KUASA

Pendefinisian kuasa atau power, adalah berlainan dari seorang pakar ke pakar yang lain. Tawney (1931) telah mendefinisikan kuasa sebagai “… keupayaan seseorang individu atau sekumpulan individu untuk mengubah tingkah laku atau perbuatan seseorang individu atau sekumpulan individu yang lain mengikut kesukaan hati”. Individu A dikatakan mempunyai kuasa ke atas B apabila individu A berjaya untuk menyebabkan individu B untuk melakukan sesuatu perkara yang individu B biasanya tidak akan buat. Hal ini dapat diperlihatkan dengan mudah dalam situasi seorang bapa dengan anaknya. Apabila seseorang anak itu tidak ingin untuk menghadirkan diri ke sekolah, bapanya boleh menggunakan pelbagai cara untuk memaksa atau menyebabkan anaknya untuk menghadirkan diri ke sekolah. Daripada contoh ini, boleh dikatakan bahawa bapa tersebut mempunyai kuasa ke atas anaknya apabila dia berjaya untuk menyebabkan anaknya untuk melakukan sesuatu perkara, dalam kes ini ialah pergi ke sekolah, yang biasanya anak tersebut tidak akan buat.

Menurut MacMillan (1978), terdapat perbezaan yang ketara antara kuasa dengan pengaruh, iaitu kuasa ialah keupayaan seseorang itu untuk menyusun semula atau mengubah keadaan atau situasi manakala pengaruh pula ialah keupayaan seseorang itu untuk mengawal serta mengubah persepsi orang lain terhadap sesuatu perkara. Seseorang yang berkuasa itu tidak semestinya berpengaruh dan seseorang yang berpengaruh pula tidak semestinya berkuasa. Contohnya, seseorang perompak yang bersenjata mempunyai kuasa untuk mengambil nyawa orang lain dan mengancam keselamatan orang lain tetapi dia bukannya seseorang yang berpengaruh kerana walau bagaimanapun caranya untuk memaksa orang lain untuk melakukan sesuatu, persepsi orang lain terhadapnya masih kekal sebagai seorang perompak. Walaupun Tun Dr. Mahathir bukan lagi seseorang menteri dalam kerajaan Malaysia, tetapi beliau tetap merupakan seorang tokoh yang amat berpengaruh dan apa-apa yang diperkatakan oleh beliau boleh mengubah serta memanipulasikan pemikiran dan persepsi orang lain terhadap sesuatu perkara.

Lord John Acton berkata, “ power tends to corrupt and absolute power corrupts absolutely”. Pernyataan di atas bermaksud seseorang yang diberi kuasa akan cenderung untuk menyalahgunakan kuasa yang diberi dan jika kuasa mutlak diberikan kepada individu tersebut, maka penyalahgunaan kuasa yang mutlak akan berlaku.

Satu contoh yang baik ialah Eksperimen Penjara Stanford yang telah diterajui oleh ahli psikologi Philip Zimbardo di Universiti Stanford, Amerika Syarikat. Dalam eksperimen ini, 24 pelajar daripada 70 pelajar yang memohon untuk menyertai eksperimen ini melalui keratan akhbar, telah dipilih untuk mengikuti eksperimen ini. Memandangkan tujuan eksperimen ini adalah untuk menguji tindak balas serta persepsi pelajar terhadap pemberian dan penggunaan kuasa, 24 pelajar yang dipilih itu telah dibahagikan kepada dua kumpulan yang berlainan, iaitu kumpulan banduan dan kumpulan pengawas. Mengikut perancangan Philip Zimbardo, kumpulan banduan akan ditempatkan di dalam penjara rekaan pelajar Universiti Stanford selama dua minggun di bawah pengawasaan kumpulan pengawas. Walaupun eksperimen ini dijangka untuk berjalan selama dua minggu, tetapi Zimbardo terpaksa untuk membatalkan eksperimen pada hari ke-6 kerana beliau berpendapat bahawa semua pelajar yang terlibat dalam eksperimen ini telah terlalu menjiwai watak-watak mereka dan tahap penyeksaan daripada pengawas-pengawas penjara menjadi terlalu serius dan melebihi batasan yang telah ditetapkan oleh beliau pada awal eksperimen. Beliau juga mendapati bahawa kuasa dan autoriti yang telah diberikan kepada pengawas penjara ini telah disalahgunakan oleh pengawas penjara untuk mematahkan semangat kumpulan banduan. Satu perkara yang amat aneh ialah pengawas-pengawas itu berasa kecewa apabila Zimbardo membatalkan eksperimennya selepas 6 hari. (Haney et al. 1973)

Eksperimen ini jelas menunjukkan bahawa pernyataan oleh Lord John Acton bahawa kuasa yang boleh menyebabkan seseorang itu cenderung untuk menyalahgunakan kuasa, adalah benar dan sekiranya kuasa yang mutlak diberikan kepada individu tersebut, maka penyalahgunaan kuasa yang mutlak akan berlaku.

Mengikut penganalisaan French dan Raven (1959), sumber atau punca kepada kuasa boleh dikategorikan kepada lima sumber yang berlainan, iaitu kekuatan, kekayaan, ilmu, kedudukan dan populariti.

Kekuatan merupakan salah satu indikasi sumber kuasa yang paling mudah untuk diperhatikan. Hal ini sedemikian kerana perlaksanaan kuasa melalui kekuatan mempunyai kesan yang jelas dan mudah diperlihatkan. Sesuatu pemerintah difahamkan oleh golongan yang diperintah bahawa pemerintah mempunyai kuasa untuk mendenda atau membawa kesusahan kepada golongan yang diperintah melalui kekuatan yang ada biarpun dari segi fizikal atau psikologi sekiranya arahan yang diberi tidak diikuti oleh golongan yang diperintah itu. Walau bagaimanapun, perlaksanaan kuasa melalui kekuatan menunjukkan kekerasan daripada pihak kerajaan.

Selain daripada itu, kekayaan merupakan suatu sumber kuasa yang amat berpengaruh dan efektif bagi pihak yang kaya dan berada kerana pihak yang kaya dapat berkongsi kekayaannya dan menggunakan kekayaan tersebut sebagai ganjaran kepada pihak yang tidak mempunyai begitu banyak kekayaan untuk mencapai matlamatnya. Dalam bidang sosiologi, keadaan ini dapat diklasifikasikan sebagai hubungan ‘patron-klien’ di mana patron yang kaya dan berkuasa dapat memenuhi kehendak klien dengan membayar klien atau memberikan klien ganjaran untuk mendapatkan perkhidmatan atau ketaatan daripada klien. Hubungan ini jelas menunjukkan bahawa golongan yang kaya dan berada mempunyai kuasa untuk mengawal dan mengubah situasi dan realitinya ialah sesiapa yang lebih kaya, dialah yang lebih berkuasa.

Ilmu pengetahuan atau kepakaran dalam sesuatu bidang dapat memberikan sesuatu individu kuasa untuk mengawal dan menentukan situasi mengikut kehendak individu tersebut. Ilmu pengetahuan sebagai asas kepada kepakaran membolehkan seseorang itu mendapat sokongan atau persetujuan daripada orang lain kerana individu itu dipercayai bahawa dia lebih faham mengenai sesuatu perkara kerana mempunyai ilmu pengetahuan dan kepakaran dalam sesebuah bidang. Contohnya, seseorang pesakit akan berjumpa dengan doktor untuk mengubati penyakit yang dihidapi. Segala nasihat dan ubat yang diberi oleh doktor akan diterima oleh pesakit tersebut kerana pesakit itu percaya kepada kepakaran serta ilmu perubatan yang dimiliki oleh doktor tersebut. Hal ini jelas menunjukkan bahawa ilmu pengetahuan dan kepakaran memberikan kuasa kepada seseorang individu atas kepercayaan bahawa dia lebih memahami sesuatu perkara kerana mempunyai kepakaran yang berasaskan ilmu pengetahuan.

Selain itu, kedudukan seseorang individu dalam masyarakat atau sesebuah organisasi boleh memberikan seseorang itu kuasa untuk membuat keputusan serta mendapat sokongan dan persetujuan daripada orang lain. Dalam sesebuah organisasi, kedudukan seseorang dapat menentukan bidang kuasa serta tanggungjawab seseorang itu dalam organisasi tersebut. Contohnya, seseorang bendahari bagi sebuah organisasi telah dipertanggungjawabkan untuk menguruskan segala hal kewangan yang berkaitan dengan organisasi tersebut. Tanggungjawab tesebut dan jawatan bendahari organisasi itu telah memberikan seseorang individu kuasa untuk memungut yuran dari ahli, menyimpan akaun organisasi serta memberi peruntukan kewangan kepada perlaksanaan aktiviti oleh organisasi.

Selain daripada itu, populariti merupakan satu punca kuasa yang penting kerana ia menunjukkan sokongan serta persetujuan daripada khalayak ramai. Dengan adanya populariti, seseorang pemerintah dapat melaksanakan kuasa dengan mudah kerana mempunyai ramai pengikut yang sanggup mengikut arahan pemerintah tersebut. Pemerhatian Tarnow (2000) bahawa dalam sesuatu organisasi tentera, kuasa seseorang ketua dapat diperkukuhkan lagi jika semua ahli dalam kumpulan tersebut mengikut arahan ketua. Walau bagaimanapun, jika semua ahli kumpulan tidak mengikuti arahan ketua, maka ketua tersebut telah hilang segala kuasanya.

Jelas daripada perbincangan di atas, kuasa bukanlah sesuatu entiti yang tidak adanya sumber dan puncanya. Setiap satu sumber kuasa yang telah dibincangkan menunjukkan sesuatu hubungkait antara keabsahan, kuasa dan autoriti.

PENDEFINISIAN SECARA MENDALAM: AUTORITI

Dalam bidang politik, autoriti sering dikaikan dengan kuasa walaupun terdapat perbezaan dari segi ciri yang amat ketara dan penting dalam perbincangan tajuk ini. Autoriti merupakan sesuatu perlaksanaan kuasa yang formal dan sah; dan ia harus dibezakan daripada kuasa peribadi seseorang. Oleh itu, autoriti boleh didefinisikan sebagai, “… perlaksanaan kuasa yang sah”. (Abdul Rashid Motem & Syed Serajul Islam 2005)

Lasswell & Kaplan (1950) pula mendefinisikan autoriti sebagai kuasa yang dipertanggungjawabkan kepada sesuatu jawatan atas penerimaan syarat asas yang telah ditetapkan untuk operasi sistem politik. Melalui pendefinisian autoriti ini, autoriti merupakan sesuatu kuasa yang sah dan diperakui oleh peraturan dan undang-undang, yang telah dijadikan sebagai sesuatu syarat yang asas kepada pemberian kuasa yang sah kepada pemerintah. Contohnya, Perlembagaan Kanada telah memperuntukan kuasa-kuasa tertentu kepada Perdana Menteri Kanada. Hal ini memberikan Perdana Menteri autoriti dan hak untuk memberi arahan kepada rakyat dan arahan tersebut harus diikuti, seperti mana yang telah diperuntukkan oleh perlembagaan.

Megikut Max Weber, terdapat tiga jenis atau sumber autoriti, iaitu tradisional, karismatik dan perundangan-rasional. (Gerth & Mills 1946) Autoriti tradisional merupakan autoriti yang berdasarkan kepada adat-adat dan amalan tradisi yang telah diwariskan dari satu generasi ke generasi yang seterusnya secara turun-temurun. Masyarakat akan mengandaikan bahawa institusi pemerintahan dan sistem politik yang mereka sudah biasa dengan sejak kecil lagi merupakan sesuatu yang betul dan sah. Oleh itu, mereka tidak akan menentang sistem pentadbiran yang sudah sedia ada dan akan mengikut segala arahan dan kehendak yang diberi oleh pemerintah. Hal ini dipercayai membawa kepada sistem monarki, di mana kuasa mutlak raja diterima oleh masyarakat tanpa mempersoalkan autoriti dan keabsahan raja. Contohnya, sistem monarki di Saudi Arabia dan Brunei Darussalam telah wujud dengan begitu lamanya dan masyarakat dahulu hingga sekarang tidak mempersoalkan kuasa pemerintahan yang mutlak di negara-negara tersebut kerana ia telah menjadi satu norma dan tradisi yang telah dilakukan sejak turun-temurun lagi.

Selain daripada itu, autoriti karismatik pula merujuk kepada kejadian di mana masyarakat mengikut segala arahan dan perintah daripada seorang ketua yang dipercayai mempunyai kuasa-kuasa sakti atau mempunyai kualiti peribadi yang begitu menakjubkan. Pemimpin yang mempunyai autoriti karismatik biasanya seorang yang pandai berbahasa dan mampu menggunakan ucapan untuk mengubah persepsi orang ramai. Contoh yang mudah ialah Ayatollah Khomeini yang berjaya membawa kepada pemberontakkan dan penggulingan kerajaan Iran, yang pada masa itu dikongkong oleh kerajaan Amerika Syarikat, lalu membawa kepada penubuhan Islamic Republic of Iran pada tahun 1979. Walau bagaimanapun, autoriti karismatik hanya bertahan selagi pengikut masih memegang kepada kepercayaan mereka terhadap ketua mereka. Walaupun tidak stabil, tetapi tidak boleh dinafikan bahawa ia boleh membawa impak yang besar ke atas arena politik sesebuah negara.

Autoriti perundangan-rasional pula berdasarkan kepada penerimaan undang-undang dan peraturan yang telah ditetapkan oleh kerajaan, oleh masyarakat. Taat setia masyarakat kepada kerajaan adalah berdasarkan kepada penerimaan masyarakat mengenai undang-undang dan peraturan, dan tidak bergantung kepada amalan tradisi atau adat-adat. Contoh yang terbaik ialah sistem birokrasi kerajaan moden di mana fokus utama ialah pada sistem protokol dan cara perlaksanaan mengikut langkah-langkah yang telah diperuntukkan dalam peraturan dan undang-undang.

Walau bagaimanapun, Weber menekankan bahawa tiada sistem kerajaan di dunia ini yang mewakili mana-mana jenis atau sumber autoriti dengan sepenuhnya. Kebanyakkan kerajaan merupakan kacukan daripada dua atau tiga jenis autoriti. Contohnya, seorang raja yang berkarismatik masih memerlukan sebuah sistem birokrasi kerajaan moden untuk menangani masalah pentadbiran. Walau bagaimanapun, autoriti perundangan-rasional dapat diperlihatkan dalam semua jenis masyarakat sosial yang moden.

HUBUNGAN ANTARA KEABSAHAN, KUASA DAN AUTORITI

Ketiga-tiga perkara yang telah dibincangkan di atas jelas menunjukkan bahawa keabsahan, kuasa dan autoriti merupakan tiga entiti yang saling bergantung dan jika satu bahagian gagal, seluruh sistem pentadbiran atau kerajaan akan mula runtuh.

Autoriti merupakan sesuatu kuasa yang sah. Tanpa keabsahan bagi sesuatu kerajaan, autoriti kerajaan tersebut tidak akan diterima oleh rakyat. Tanpa penerimaan rakyat, autoriti yang tidak absah akan kehilangan kuasanya. Oleh itu, dalam jangka masa yang panjang, kerajaan itu akan mula runtuh.

Pada masa yang sama, jika sesebuah kerajaan tidak ada keabsahan, maka autoriti kerajaan tersebut adalah tidak rasmi dan tidak sah. Oleh yang demikian, kuasa yang dilaksanakan itu juga tidak absah dan kuasa-kuasa yang cuba digunakan itu akan kehilangan kuasanya. Selain daripada itu, dalam sesebuah kerajaan yang mempunyai keabsahan yang tinggi, kekerasan tidak diperlukan.

Dalam sesebuah kerajaan yang tidak berkuasa, autoriti dan keabsahan kerajaan tersebut boleh dipertikaikan dan masyarakat akan menolak kerajaan tersebut. Hal ini menyebabkan kerajaan itu kehilangan segala autoriti dan keabsahan yang ada dan membawa keruntuhan negara.

RUJUKAN

Abdul Rashid Motem & Syed Serajul Islam. 2005. Introduction
to Political Science
. Singapore: Thomson Asia Pte. Ltd.

Dahl, R. 1961. Who Governs? New Haven: Yale University Press.

French, Jr., J.R.P. & Raven, B. 1959. The Bases of Social Power. Dlm.
Cartwright, D. (pnyt). Studies in Social Power. Ann Harbor:
University of Michigan Press.

Gerth, H. & Mills, C.W. (pnyt). 1946. From Max Weber: Essays in Sociology.
New York: Oxford University Press.

Haney, C., Banks, W.C., & Zimbardo, P.G. 1973. Study of Prisoners and Guards
in a Simulated Prison. Naval Research Reviews. Washington, D.C.:
Office of Naval Research.

Lasswell, H.D. & Kaplan, A. 1950. Power and Society. New Haven:
Yale University Press.

MacMillan, I.C. 1978. Strategy Formulation: Political Concepts. St. Paul:
West Publishing.

Tawney, R.H.  1931. Equality. New York: Harcourt Brace Jovanovich.

RUJUKAN TAMBAHAN

Marle, D. 2008. Robert Mugabe’s Thugs Run Riot in Election Crackdown.

http://www.timesonline.co.uk/tol/news/world/africa/article4232169.ece

[29 Julai 2008]

Tarnow, E. 2000. A Quantitative Model of the Amplification of Power Through
Order and the Concept of Group Defense.

http://cogprints.org/4275/

[12 Julai 2008]

Watkins, T. 2000. The Park Chung Hee Regime in South Korea.
http://www.sjsu.edu/faculty/watkins/park.htm [29 Julai 2008]

Woon King Chai masih dalam pengajian Tahun 2, Ijazah Sarjanamuda dalam bidang Sains Politik di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau boleh dihubungi melalui emel: kingchai.woon@gmail.com